Cerita Rakyat


Kisah Lebai Malang 
Al kisah, maka adalah sebuah desa. Maka di dalam rantau itu adalah seorang lebai pandai mengaji dan taat ibadatnya kepada Allah ta`ala, istimewa pula perangainya tersangat adab dan santun, serta dengan tulus ikhlas hatinya kedua laki isteri. Ia itu tinggal di sebuah dusun.

Sekali peristiwa, datanglah seorang laki-laki ke rumahnya mengajak akan dia melawat orang mati. Maka kata Pak Lebai, baiklah. Kembalilah tuan dahulu,. Dan seketika lagi datang pula seorang kanak-kanak menjemput Pak Lebai kerana hendak kenduri berkhatam pengajian. Maka jawab Pak Lebai, yalah, baliklah engkau dahulu. Ada sekejap pula datang seorang lagi mempersilakan Pak Lebai keterataknya oleh hendak berdikir kenduri Maulud. Maka itu pun disanggup juga Pak Lebai, demikianlah juga katanya. Maka ketiga-tiga mereka itu pun pulanglah ke rumah masing-masing berhadirkan sekalian alatnya kerana harapkan Pak Lebai akan datang juga ke rumahnya.

Hatta, dinanti-nantilah oleh semua pemanggil itu akan Pak Lebai beberapa lamanya hingga beralih matahari, tiadalah juga Pak Lebai datang. Maka yang mati itu pun dimandikan serta disembahyangkan lalu ditanamkan. Dan demikian juga yang berkhatam itu pun dikhatamkan oranglah dan yang berkenduri itu pun bertampillah berdikir, masing-masing dengan pekerjaannya.

Kelakian, maka tersebutlah perkataan Pak Lebai. Kemudian daripada mereka yang ketiga itu telah kembali, maka ia pun sembahyang zuhur. Sudah sembahyang lalu berfikir di dalam hatinya, ke mana baik aku pergi ini? Jika aku pergi kepada orang mati tentu aku mendapat sedekah kain putih dan tikar. Dan kalau aku pergi kepada orang berkhatam pengajian itu, perutku tentulah kenyang, dan sedekah pula secupak daging kerbau, serta kelapa setali dan kampit beras satu. Dan jikalau aku pergi kepada orang berdikir itu perut aku tentulah kenyang makan lempeng penganan angkatan orang itu. Maka kalau begitu, baiklah aku pergi kepada orang mati itu dahulu, kerana sabda junjungan dahulukan kerja wajib daripada kerja yang lain-lain.

Hatta, telah Lebai Malang berfikir demikiaan, maka ia pun pergilah ke rumah orang yang kematian itu. Dengan takdir Allah ta`ala Pak Lebai bertemu dengan orang-orang yang pergi menanamkan orang mati itu baru pulang sahaja dari kubur. Maka kata saudara si mati, Allah, Pak Lebai, mengapa lambat datang? Sudahlah apa boleh buat? Tiada hendak menjadi rezeki saya.

Maka Pak Lebai pun pergilah pula ke rumah orang berkhatam itu. Serta ia sampai ke sana, orang semuanya habis hendak balik. Demi dilihat oleh orang empunya kerja itu, katanya, ah, ah ini pun Pak Lebai baru sampai. Mengapa Pak Lebai lambat datang? Sekarang apa pun tiada lagi, semuanya telah habis, melainkan barang dimaafkan sahajalah hal saya ini, kerana semuanya telah habis sekali.

Maka kata Pak Lebai, tiada mengapa, asalkan sudah selamat, sudahlah. Kemudian ia pun berjalan menuju ke rumah orang bermaulud itu. Setelah ia sampai ke sana, orang baru lepas berangkat saja, masing-masing orang pun hendak kembalilah. Maka apabila dilihatnya oleh tuan rumah akan Pak Lebai, maka katanya, Allah mengapa lambat datang Pak Lebai? Hingga penatlah saya menanti tiada juga Pak Lebai sampai. Kemudian diperbuatlah mana-mana yang dapat. Naiklah, Pak Lebai, nah inilah yang ada hanya sebungkus penganan saja lagi, lain semuanya sekali telah habis.

Maka ujar Pak Lebai, tiada mengapa apa pula yang disusahkan saya ini. Lalu diambilnya bungkusan lempeng itu serta berjalan pulang ke rumahnya. Kelakian, maka hari pun hampir petang Pak Lebai pun sampailah ke kampungnya lalu teringatlah ia akan air niranya di atas pohon kabung tiada berambil lagi. Maka ia pun pergilah ke pohon kabung itu dan lempengnya itu pun disangkutkannya pada singai tempat ia memanjat pohon itu. Maka Pak Lebai pun sampailah kepada bacuk niranya itu. Dilihatnya bacuk itu penuh berisi air nira.

Dengan takdir Allah, lempengnya yang ditinggalkannya di bawah itu sudah digonggong oleh anjing, dibawanya lari. Maka setelah dilihatnya oleh Pak Lebai akan hal penganannya itu digonggong oleh anjing, maka hilanglah fikirannya, lalu ia mencabut goloknya serta dipunggaikannya kepada anjing itu, tiada kena. Dan diambil bacuk nira yang penuh dengan nira itu, lalu dibalingkannya, tiada juga kena. Maka ia pun terjun dari atas pohon itu berkejar sekuatnya menghambat binatang bedebah itu.

Maka oleh tersangat pantasnya Pak Lebai mengejar anjing itu hingga terkepunglah ia, tiada tentu arahnya hendak lari lagi, istimewa pula hari sudah malam buta. Maka anjing itu pun masuklah ke dalam lubang batang kayu bersembunyi membawa bungkusan kuih yang separuh sudah dimakannya sambil lari itu. Maka Pak Lebai pun sampailah kepada tempat anjing itu menyembunyikan dirinya. Dicarinya kayu tiada, dan lain-lain benda pun tiada juga hendak disumbatkannya pada lubang itu. Maka Pak Lebai pun oleh tersangat berang hatinya, lalu menanggalkan seluar dan baju serta songkoknya, lalu disumbatkannya kepada lubang itu. Maka Pak Lebai pun tinggal bertelanjang bulat sahaja. Maka sianjing sial itu pun keluarlah lari mengikut lubang yang sebelah lagi yang tiada bertutup itu, mengonggong bungkusan itu dengan pantasnya masuk ke dalam hutan lalu hilanglah sekali tiada kelihatan pada mata Pak Lebai. Maka Pak Lebai pun tercengang-cenganglah mengintai anjing itu ke sana ke mari.

Hatta seketika lagi terbanglah dua ekor burung punai betul-betul menuju Pak Lebai, kerana pada sangka burung itu tunggul kayu, oleh Pak Lebai bertelanjang bogel, seurat benang pun tiada lekat pada tubuhnya. Setelah dilihat oleh Pak Lebai akan punai itu datang, ia pun segeralah mengadakan lengannya dan membukakan kedua ketiaknya. Maka punai itu pun betullah masuk ke dalam lubang ketiaknya, seekor disebelah kiri hendak menangkap burung itu. Wah apabila dirasa oleh burung itu badannya sudah tiada terapit lagi, maka keduanya pun terbanglah naik ke atas pohon kayu yang berhampiran di situ. Setelah dilihat oleh Pak Lebai punai itu terbang, putihlah matanya dengan putus asanya kerana segala perkara yang diusahakannya itu suatu pun tiada memberi faedah kepadanya.

Maka ia pun mengucapkan syukurlah kepada Allah lalu ia pun kembalilah kepada lubang kayu tadi hendak mengambil kain bajunya. Sekunyung-kunyung suatu pun tiada lagi, sudah diambil oleh orang. Maka pergi pula ia ke pohon kabung mencari goloknya dan bacuk niranya, semuanya telah ghaib, suatu pun tiada lagi. Wah apatah lagi, sesal Pak Lebai pun tiadalah berguna lagi, lalu teringatlah ia akan bidalan orang tua-tua, kalau secupak, takkan segantang, rezeki sudah sebanyak itu.

Maka Pak Lebai pun naiklah kerumahnya. Telah dilihat oleh isterinya Pak Lebai bertelanjang bogel itu, marahlah ia, seraya katanya, kena apa awak demikian ini, seperti laku orang gila? Ke mana pergi seluar dan baju awak? Maka oleh Pak Lebai diceritakannya segala hal ehwal yang telah berlaku ke atas dirinya. Maka Mak Lebai pun naiklah radangnya, seraya mengambil kayu api, disesahkannya ke belakang Pak Lebai seraya berkata:

‘ Lebai nasib langkahan malang,
Ke hulu hilir penat berulang
Celaka sial bedebah jembalang
Pakaian dibuang bertelanjang pulang.'

Maka Pak Lebai pun lari masuk ke dalam kelambu mencari kain, lalu duduk termenung memikirkan halnya yang telah jadi, serta dengan berangnya sebab penat dan sakit kena bahan oleh kayu api Mak Lebai. Lalu ia bersyair pula:

‘ Ayuhai nasib fakir miskin,
Dapat sedekah sebungkus lempeng,
Habis hilang baju dan kain,
Penganan habis dibaham anjing.
Penat berkejar tidak terkira,
Ke sana ke mari tersera-sera,
Punah golok bersama nira,
Pulang ke rumah mendapat mara.'

Maka demikianlah ceritanya Pak Lebai Malang itu, adanya.





Sang Kancil Dengan Sang Buaya
Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di dalam hutan datang kepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang- binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa saja.Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari makanan di tempat lain.
Cuaca pada hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan. Setelah meredah hutan akhirnya Sang Kancil berjumpa dengan sebatang sungai yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa dahaga Sang Kancil. Sang Kancil terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin yang sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata di dalam hatinya "Aku mesti bersabar jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan dedaun kegemarannya yang terdapat disekitarnya.
Apabila tiba di satu kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang sedang masak ranum di seberang sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai ini dan dapat memakan buah-buahan tersebut” Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya.
Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing sungai. Sudah menjadi kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk mendapat cahaya matahari.Tanpa berlengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya matahari terus membuka mata dan didapati Sang Kancil yang menegurnya tadi "Khabar baik sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah yang menyebabkan kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar gembira untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kancil, Sang Buaya tidak sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu berkata "Ceritakan kepada ku apakah berita tersebut. Kancil berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam sungai ini kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua". Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini. "Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun ke dasar sungai untuk memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan.
Tidak lama kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi "Beraturlah kamu merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing sebelah sana kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi Sulaiman. Semua buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya tadi "Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang pertama di tepi sungai dan ia mula menghitung dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman.
Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah ditipu oleh Sang Kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang.

 
Keldai dengan serigala. 

Pada suatu pagi,seekor keldai pergi meragut rumput di sebuah padang rumput yang luas.Ia meragut rumput dengan gembira kerana rumput di situ sunguh segar.Lagipun tiada haiwan lain di di situ,jadi ia dapat meragut rumput dengan senang hati.
‘’Oh,beruntung sungguh aku hari ini!’’Setelah kenyang, keldai mamandang sekeliling,tiba-tiba ia ternampak seekor serigala yang kelaparan sedang menuju ke arahnya….
“Apakah yang harus aku buat sekarang? Kalau aku lari,tentu serigala itu berjaya mengejar aku,”rungut keldai yang ketakutan itu. Tiba-tiba keldai mendapat idea. Keldai memberanikan diri. Ia berpura-pura berjalan dengan selamba ke arah serigala.
“Apakah yang sedang berlaku? Mengapa kamu tidak lari sebaik sahaja ternampak aku?’’tanya serigala yang kehairanan.Tiada gunanya aku lari kerana kamu tetap akan buru dan menangkap aku. Akhirnya aku akan jadi makanan kamu juga.’’Kata keldai dengan berani.
‘’Betul juga cakap kamu.Kalau kamu terlepas hari ini,esok atau lusa kamu akan jadi mangsa aku juga,’’kata serigala.’’Tapi tiada seronok kalau aku dapat tangkap kamu dengan mudah.Kan lebih seronok kita main kejar-kejar.Kalau aku berjaya tangkap kamu,aku akan memakan kamu…’’
‘’Baiklah,aku setuju dengan cadangan kamu,’’Kata keldai,’’tapi sebelum kita main kejar-kejar,aku mahu meminta pertolongan kamu.Boleh kah kamu tolong buangkan serpihan duri di dalam kuku kaki belakan aku.’’
‘’Ya,sudah tentu aku akan tolong kamu!’’Kata serigala.Keldai pun menghuluhkan kaki belakangnya ke arah serigala. Ketika serigala cuba memegang kakinya dan menunduk untuk mencabut duri tersebut, keldai pun menendang muka serigala dendang kuat.
‘’Aaaaaahhhhhhh!’’Jerit serigala dengan kuatnya. Disebabkan tendangan keldai itu amat kuat,serigala mengalami kecederaan yang teruk. Hidungnya berdarah dan beberapa batang giginya patah. Akhirnya ia melarikan diri dengan kesakitan yang amat sangat.’’Lain kali ku akan tangkap kamu dan makan kamu!’’jerit serigala dengan marah.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan