1. Pendahuluan
Kini masalah murid-murid ( slow
learner ) di sekolah-sekolah di Negara kita telah mendapat perhatian yang
serius daripada para pendidik dan ibu bapa. Perkara-perkara yang berhubung
dengan masalah mereka, sebab-sebab mereka ketinggalan dan bagaimana cara hendak
menolong mereka sering dibincangkan dalam seminar, forum dan persidangan-persidangan
mengenai pendidikan. Pelbagai usaha
telah diambil oleh pihak kerajaan seperti melatih guru-guru pemulihan dan
menempatkan mereka di sekolah-sekolah. Ini menandakan pengajaran pemulihan
telah dianggap sebagai sebahagian penting daripada aktiviti-aktiviti dalam
proses pengajaran di sekolah. Selain itu semua Institiut perguruan di Negara
ini telah memasukkan pengajaran pemulihan dalam program latihannya. Sementara
itu, dalam rombakan kurikulum sekolah rendah (KBSR) yang lebih menekankan 3M
telah menjadikan taraf pengajaran pemulihan di sekolah disusun dengan lebih
teratur agar ianya dapat membantu mengatasi kesulitan pembelajaran mereka pada
peringkat awal. Pada masa sekarang program pemulihan ini masih diteruskan oleh KIA 2M dan program Linus. Adalah
disedari bahawa kemunduran murid-murid dalam mata pelajaran bahasa Malaysia
akan membawa kesan yang buruk kepada pembelajaran dan seterusnya menjejaskan
prestasi mereka dalam mata pelajaran yang lain.
Dalam strategi pengajaran dan
pembelajaran KBSR ada dinyatakan bahawa murid-murid adalah berbeza dari segi
kesediaan belajar dan keupayaan mereka menerima pembelajaran. Oleh itu
Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberikan kemudahan agar semua murid
menerima pelajaran yang sama. Rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah mengandungi
program pemulihan untuk murid yang menghadapi masalah pembelajaran dan program
pengayaan untuk murid-murid yang telah berjaya mencapai prestasi yang tertentu.
Pelbagai kaedah yang telah dirancang supaya murid-murid yang menghadapi masalah
pembelajaran dapat dibantu. Antaranya mengadakan aktiviti prabacaan dan
pratulisan.
2. Pemulihan
2.1 Definisi Pemulihan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (
2005: 993 ). ‘Pulih’ bermaksud kembali seperti biasa ( keadaan semula ).
‘Pemulihan’ bermaksud perbuatan memulihkan, pengemballian kepada keadaan
semula. Dalam konteks ini pemulihan merujuk kepada kanak-kanak yang menghadapi
masalah dalam pembelajaran. Pengajaran pemulihan biasanya berkaitan dengan
usaha untuk membaiki sesuatu kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak
betul.
Syarifah Alawiah Alsagoff ( 1983 )
pula menyatakan pemulihan ialah satu tindakan yang diambil untuk mengatasi
keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran
dalam kelas.Pelajar ini perlu diasingkan di dalam bilik khas agar dapat diberi
tumpuan yang sepenuhnya.
Pada pendapat saya, pemulihan
merupakan langkah-langkah khas yang diambil untuk membantu murid-murid yang
menghadapi pembelajaran di sekolah. Ia biasanya dilakukan dalam jangka masa
yang pendek dan ditujukan khusus kepada usaha mengatasi kelemahan mereka. Pengajaran
pemulihan berbeza daripada pengajaran yang biasa terdapat di sekolah. Murid
yang mengikuti kelas pemulihan terdiri daripada murid yang bermasalah dalam
pelajaran. Oleh sebab murid yang belajar di kelas pemulihan adalah murid yang
istimewa, Pendidikan pemulihan perlu dijalankan dengan lebih teliti dan
istimewa. Ianya haruslah dikendalikan oleh guru yang berkemahiran dalam bidang
pemulihan.
2.2 Konsep Pemulihan
Program pemulihan merupakan
langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid-murid yang
menghadapi masalah pembelajaran di dalam kelas. Murid yang mempunyai masalah
dalam kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) patut dipulihkan sebaik
sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan dan ditentukan oleh guru mata
pelajaran ketika belajar di dalam kelas biasa. Murid-murid ini akan ditempatkan
dalam satu bilik khas dan akan menjalani aktiviti pemulihan yang dirancang
khusus oleh guru pemulihan khas tersebut. Biasanya mata pelajaran yang selalu
dipulihkan ialah mata pelajaran Bahasa Melau dan Matematik iaitu selaras dengan
pendekatan Kurikulum Baru Sekolah Rendah di mana murid perlu menguasai
kemahiran 3M ( membaca, menulis dan mengira )
3. Kemahiran Prabacaan
Kemahiran prabacaan merupakan
kemampuan dan tahap kesediaan seseorang murid untuk menerima pengajaran dari
segi mental, emosi, dan fizikal.
Kesediaan dari segi mental bermaksud murid-murid dikenal
pasti berupaya untuk mengingat dan memahami perkara yang diberitahu dan mampu
menyampaikan pesanan dengan betul kepada orang lain.Dari segi emosi pula, murid
dapat dikesan berminat dan seronok dengan bahan-bahan bacaan yang dibekalkan.
Contohnya murid tersebut berminat untuk membaca buku-buku yang ada pada mereka.
Selain itu, mereka juga cuba membaca perkataan yang tertera di dalam televisyen
dan berminat mendengar cerita.
Jika dilihat dari sudut fizikal pula, pertuturan murid
itu berupaya untuk menghasilkan bunyi-bunyi yang diajarkan,, matanya dapat
mengecam pelbagai bentuk, serta boleh mengecam dan membezakan pelbagai bunyi
yang diperdengarkan.
Menurut Syed
Abu Bakar (1994) aktiviti kesediaan membaca terbahagi kepada dua iaitu
peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi
kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan, penglihatan, aktiviti
koordinasi psikomotor (mata dan tangan), latihan menajamkan daya ingatan, dan
latihan bahasa pertuturan.
Oleh itu, jelaslah di sini bahawa peringkat prabacaan
merupakan satu tahap yang paling penting perlu dilalui oleh murid sebelum
mereka mula membaca. Sekiranya murid terus diajar membaca tanpa melalui fasa
persediaan dan tahap sepatutnya akan mendatangkan kesan yang negative terhadap
pembelajaran kanak-kanak.
Rajah 1.1 Peringkat Kesediaan Membaca
3.1 Objektif Aktiviti
Prabacaan
Aktiviti prabacaan dilaksanakan
supaya dapat membantu kanak-kanak menguasai kemahiran melihat iaitu mengenal
pasti bentuk-bentuk yang sama dan berbeza. Selain itu, aktiviti prabacaan juga
membolehkan murid-murid menguasai kemahiran mendengar dengan mengenal pasti
bunyi-bunyi yang sama dan bunyi-bunyi yang berbeza. Seterusnya aktiviti ini
juga dapat memastikan kanak-kanak mengenal dan menyebut huruf menjadi suku kata
dan dari suku kata menjadi perkataan yang bermakna. Melalui aktiviti prabacaan
juga murid dapat menyebut suku kata tertutup dan terbuka seperti mata, bapa,
kakak, huruf dan sebagainya. Akhir sekali, aktiviti prabacaan juga dapat
menjadikan kanak-kanak menguasai kemahiran gerak motor dan laku tangan bagi
mengukuhkan penglihatan dan pengamatan.
3.2 Faedah Aktiviti
Prabacaan
Pelaksanaan aktiviti prabacaan
memberikan pelbagai faedah kepada kanak-kanak. Antaranya ialah:
i)
Murid-murid
dapat mencapai kemahiran dan memahami proses membaca dengan baik, menarik dan
teratur kerana ia dimulai dengan peringkat asas membaca.
ii)
Dapat
melahirkan murid yang cekap dan berdikari kerana mereka sudah menguasai
kemahiran yang telah diajarkan.
iii)
Proses
pembacaan lebih mudah diterima dan murid mampu menguasai pelajaran dengan baik
malah dapat menguasai kemahiran membaca pada usia muda.
iv)
Murid
akan lebih berkeyakinan untuk memulakan alam persekolahan kerana sudah dapat
menguasai kemahiran membaca.
v)
Dapat
memupuk minat membaca pada usia muda kerana mereka dapat membaca dengan cepat
dan lancar.
3.3
Pelaksanaan Aktiviti Prabacaan
Terdapat
pelbagai aktiviti prabacaan yang boleh dilaksanakan oleh guru agar dapat
membantu murid-murid sebelum mereka mula mengenal lambang-lambang huruf,
menyebut suku kata, perkataan dan membaca ayat. Antaranya ialah:
a)
Aktiviti Pengamatan
Penglihatan
Terdapat empat belas
jenis aktiviti yang setiap satunya mempunyai tujuannya yang tersendiri dan
langkah melaksanakannya, iaitu diskriminasi penglihatan, ingat kembali,
orientasi kedudukan,turutanmenyudahkan atau melengkapkan, rajah ayau latar
bertindih, kordibasi mata dan tangan, pertalian jarak (ruang), ketetapanbentuk
atau kedudukan dalam rajah, gambar bersiri, pembalikan, mazing atau mencari
jalan keluar dan benda tersembunyi.( Lihat Lampiran 1)
Aktiviti ini diajarkan bertujuan untuk melatih keupayaan
mata murid-murid mengecam, membeza dan membandingkan bentuk-bentuk, gambar,
benda-benda maujud dan sebagainya mengikut jenis, warna, saiz dan seumpamanya.
b)
Aktiviti Pengamatan
Pendengaran
Kemahiran mendengar amat penting kepada murid-murid
kerana kesilapan mendengar akan memberikan kesan yang amat besar sama ada kepada orang yang bercakap mahu pun kepada orang yang
mendengar. Guru perlulah mengajar kemahiran mendengar kerana ia akan membantu
murid-murid dalam memberikan fokus kapada pembelajaran dan kepada sebarang
pekerjaan yang dilakukan.
Abd. Aziz Abd. Talib (2000:
72) menjelaskan mendengar merupakan aras dalam pembelajaran lisan. Oleh itu,
kemahiran mendengar perlu diajarkan kepada murid-murid di sekolah agar mereka
tidak salah menerima dan menyampaikan pesanan. Semakin tinggi pelajaran
murid-murid itu, maka semakin penting kemahiran mendengar itu perlu dikuasai.
Terdapat enam aktiviti yang boleh
dilaksanakan bagi menjayakan pengamatan pendengaran, iaitu diskriminasi
pendengaran, penerimaan pendengaran, perkaitan pendengaran, ingatan
pendengaran, melengkapkan pendengaran dan percantuman bunyi. (Lihat Lmpiran
2 )
c.
Aktiviti Pergerakan
Jari dan Mata
Aktiviti ini dapat membantu murid-murid
meningkatkan kemahiran motor halus dan kognitif murid-murid. Melalui aktiviti
ini, jari-jari dan tangan murid-murid perlu dilatih untuk memudahkan mereka
memegang pensel dan alat tulis yang lain apabila mereka menulis nanti.
4. Kemahiran Pratulisan
Pratulisan merupakan satu peringkat
yang perlu dilalui oleh setiap orang murid bagi menyediakan diri ke arah
melahirkan lambang-lambang bunyi yang khusus dan boleh diterima oleh kelompok
masyarakat. Pada peringkat ini aktiviti contengan dilakukan atas permukaan
benda yang sedia ada di persekitaran murid dengan menggunakan bahan yangboleh
meninggalkan kesan ke atas permukaan benda tersebut. Contengan ini boleh
dilakukan secara bebas atau secara terkawal.
Pratulisan merupakan satu kemahiran
di mana murid-murid berupaya menggunakan alat tulis dengan mengetahui teknik
serta cara gerakan tangan untuk membentuk huruf. Oleh sebab itu, kemahiran
pratulisan bermaksud seseorang murid itu telah bersedia dari segi mental dan
fizikalnya untuk memulakan penulisan secara mekanis. Dengan kata lain,
pratulisan merupakan satu tempoh di mana murid-murid disediakan dengan
aktiviti-aktiviti menulis sebelum mereka menulis huruf-huruf dengan kemas dan
betul. Dalam kemahiran pratulisan,murid-murid perlu menguasai
pergerakan-pergerakan motor yang dapat membantu mereka dalam penguasaan
kemahiran menulis. Kemahiran ini termasuklah penguasaan kemahiran
pergerakan tangan atau mata serta
koordinasi antara tangan dan mata bagi memudahkan aktiviti tulisan.
4.3 Objektif Kemahiran
Pratulisan
Aktiviti pratulisan amat penting
kepada semua murid tahun satu sebelum mereka mempelajari peringkat penulisan
yang selanjutnya. Antara objektif kemahiran pratulisan ialah memberi kesediaan otot tangan dan otot
jari serta mengkoordinasi mata dan tangan dengan baik. Dalam hal ini, sekiranya
perkara ini berjalan dengan seiring, maka murid akan dapat menghasilkan tulisan
yang kemas dan cantik. Selain itu, murid juga dapat melakukan pergerakan
lurus,beralun dan membuat lakaran berbentuk bulat dengan jari. Akhir sekali,
murid juga boleh melakar pelbagai bentuk dengan menggunakan alat tulis dan
dapat mengawal pergerakan dan kooordinasi mata dan tangan dengan melakukan
pelbagai aktiviti tulisan.
4.4 Pelaksanaan
Aktiviti Pratulisan
Terdapat tiga komponen besar yang
dapat dilakukan untuk melaksanakan aktiviti prabacaan. Antaranya ialah
4.4.1 Pergerakan Jari, Tangan dan Mata
Latihan pergerakan jari, tangan dan
mata merupakan satu fasa yang mesti dilalui oleh murid-murid sebelum sesuatu
kemahiran menulis dilakukan.Latihan ini meliputi:
a) Aktiviti menggerakkan jari dan tangan, di
mana pergerakan boleh dilakukan mengikut irama lagu, tepukan tangan atau
pergerakan anggota badan secara ‘humming’.
b) Menggerakkan tangan, pergelangan tangan, dan
jari telunjuk di atas kertas, di atas meja, di udara, di belakang kawan, di
atas tapak tangan kawan, di atas pasir, di atas lantai dan seumpamanya.
c) Aktiviti lain yang boleh dilakukan ialah
mewarna secara bebas dan terkawal menggunakan pelbagaii media warna seperti krayon,
pensel warna, warna air dan sebagainya. Selain itu, aktiviti menyurih
gambar,melukis secara bebas atau terkawal, mengoyak, menampal, melipat,
menggunting, menjahit dan sebagainya.
Aktiviti
ini bertujuan supaya murid dapat menguasai gerak tangan yang bebas supaya boleh
menulis dengan sempurna. Beberapa latihan seperti membuat lakaran bebas,
melakar perjalanan ke sekolah, dan melakar bentuk-bentuk geometri membolehkan
murid menguasai kemahiran menulis.
4.4.2 Membuat Corak,
Menyambung Titik dan Memadankan Bentuk
Antara aktiviti-aktiviti yang boleh
dijalankan ialah latihan membuat corak, latihan menyambung titik, latihan
memadan bentuk melukis bentuk-bentuk geometri dan sebagainya.
4.4.3 membentuk Huruf
Menerusi kaedah ini guru harus
merancang pengajaran dengan membuat kelompok huruf berdasarkan bentuk-bentuk
huruf yang terdapat dalam abjad Melayu. Sebagai contoh kelompok pertama untuk
huruf-huruf yang berbentuk bulah seperti huruf o, a, dan e. Kelompok kedua
merupakan huruf-huruf yang mempunyai garisan lurus seperti huruf i.l,t,f,b,d, h
dan k. kelompok merupakan kelompok huruf selekoh seperti huruf m, n dan r
manakala kelompok keempat merupakan kelompok huruf ekor bawah garis seperti
huruf y, g, j, p, dan q. ( Lihat Lampiran 3 )
5. Kaedah Membaca
Kaedah merupakan prosedur menyeluruh
terhadap sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kaedah terbentuk
berdasarkan pendekatan yang dipilih dan telah dikenal pasti bersasuaian dengan objektif
dan tujuan sesuatu kemahiran bahasa itu diajarkan. Tegasnya kaedah adalah
langkah-langkah atau peringkat-peringkat yang teratur yang digunakan untuk
mencapai sesuatu tujuan dalam pengajaran.
Bagi peringkat awal bacaan
kanak-kanak, terdapat beberapa jenis kaedah membaca yang boleh digunakan oleh
para guru untuk mengajar murid-murid. Dalam konteks pengajaran membaca,
terdapat tiga kaedah popular yang boleh digunakan iaitu kaedah abjad, kaedah
fonetik dan kaedah pandang sebut.
5.1 Kaedah Abjad
Kaedah abjad merupakan kaedah asas
membaca yang paling tua digunakan oleh manusia untuk mengajar kanak-kanak
membaca. Pendapat ini turut diisokong oleh Zulkifley Hamid (1994) yang
berpendapat bahawa kaedah ini adalah sebagai kaedah klasik dan amat digemari
oleh ramai guru yang mengajar membaca pada peringkat permulaan. Kaedah
pengajaran abjad ini pernah juga digunakan pada zaman kerajaan Greek dan Rom.
Dalam kaedah ini, guru akan
memperkenalkan huruf vokal dan konsonan terlebih dahulu iaitu huruf a hingga
huruf z sebanyak 26 huruf(Lihat Lampiran 4). Kemudian nama-nama abjad
ini perlulah disebut dan dihafal oleh murid. Kadang-kadang ada nyanyian yang
menggunakan huruf-huruf sebagai liriknya. Setelah itu guru akan memperkenalkan
huruf kecil dan huruf besar. Selepas itu murid dikehendaki menulis huruf kecil
dan huruf besar serta murid diajar padanan huruf tersebut. ( Lihat
lampiran 4 ) setelah beberapa minggu barulah murid tersebut
diperkenalkan dengan huruf vokal iaitu huruf a, e, i, o, dan u. Dalam sistem
bahasa Melayu apabila huruf-huruf vokal yang digabungkan dengan huruf konsonan
akan menghasilkan bunyi seperti ‘da’, ‘di’, ‘du’, ‘de’, dan ‘do’ manakala gabungan ‘ai’, ‘au’, dan
‘oi’ akan membentuk diftong.
Semua bunyi tersebut apabila
digabungkan akan membentuk sukukata seperti da + du = dadu. Seterusnya murid
akan diajar membaca rangkai kata, ayat dan seterusnya diajar membaca.
Seterusnya guru akan mengaitkan gambar dengan
sesuatu huruf, contohnya ‘a’ untuk ‘ayam’, ‘b’ untuk ‘bola’, ‘c’ untuk ‘cawan’,
‘d’ untuk ‘duku’ dan sebagainya. ( Lihat lampiran 6 ). Untuk tujuan
pengukuhan guru boleh menyanyi lagu ABC.
5.1.1 Kelebihan Kaedah
Abjad
Penggunaan kaedah abjad amat sesuai
dengan sistem bahasa Melayu kerana ia terdiri daripada suku kata yang hampir
tetap bunyinya. Misalnya ‘ba’ bunyinya adala ‘ba’ juga. Seterusnya murid boleh
membaca perkataan baharu, walaupun belum pernah mempelajarinya kerana mereka
sudah dapat mengenal huruf dan membunyikan vokal konsonan dengan baik. Selain
itu, kaedah ini memberikan kemahiran asas dan binaan yang kukuh dalam aktiviti
asas membaca. Akhir sekali kaedah ini dapat membantu murid-murid untuk mencapai
tahap kecekapan yang tinggi dalam kemahiran membaca serta memberikan keyakinan kepada
mereka untuk terus membaca.
5.1.2 Kelemahan Kaedah Abjad
Terdapat pelbagai kelemahan kaedah
abjad iaitu selalunya murid-murid boleh membaca dengan lancar perkataan yang
diberi tetapi tidak memahami apa yang dibacanya. Selain itu, melalui kaedah
abjad ini juga murid masih terbawa-bawa cara membaca sambil mengeja. Hal ini
demikian akan menyebabkan mereka membaca secara merangkak-rangkak dan tidak
memahami apa yang diucapkan. Seterusnya kaedah ini juga dikatakan tidak sesuai
dengan kehendak pendidikan dan psikologi murid-murid kerana pengajaran tidak
secara keseluruhannya bermakna. Besar kemungkinan murid-murid akan lupa
pelajaran yang lepas jika tidak diulang sebut berulang kali di dalam bilik
darjah. Akhir sekali kaedah abjad ini akan membosankan murid terutama apabila
mereka diberi latih tubi yang berlebihan. Kaedah ini lebih mengutamakan
aktiviti hafalan dan kurangnya penghayatan.
Sebagai kesimpulannya kaedah abjad merupakan
kaedah yang memberikan fokus kepada aktiviti menghafal abjad, proses
pembentukan suku kata dan aktiviti mengeja. Usaha menghafal abjad dan membentuk
suku kata ini bertujuan untuk memudahkan murid mengeja perkataan ketika
membaca. Dalam kaedah ini murid perlu mengenal pasti nama-nama huruf dahulu
melalui latihan menyebut dan menghafal dari huruf a hingga z mengikut susunan.
Seterusnya diikuti dengan mengeja suku kata dan perkataan. (Lihat Lampiran 7
)
5.2 Kaedah Fonetik
Kaedah fonetik merupakan kaedah asas
membaca yang menekankan hubungan antara huruf (symbol) dengan bunyi. Pengajaran
mengikut kaedah ini dimulakan dengan
latihan pendengaran, diikuti dengan latihan penyebutan, iaitu bermula dengan
latihan penyebutan bunyi, kata frasa dan ayat. Kaedah ini amat sesuai untuk
mengajar membaca kepada kanak-kanak yang baru mengenal huruf. Membaca mengikut
kaedah fonetik memerlukan seseorang murid itu bersedia lebih awal seperti
mengetahui bunyi-bunyi huruf, boleh menyebutnya dengan baik serta dapat
mengingatinya dalam tempoh yang agak lama. Seterusnya murid perlu mengenali
huruf berkenaan dari segi bentuk, rupa dan cara menulis huruf tersebut di
samping dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang dilafazkan.
Dalam kaedah fonetik, murid-murid
tidak diajar nama-nama huruf tetapi mereka diajar bunyi-bunyi huruf. Maksudnya
lambang huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Misalnya ‘a’ dibunyikan ‘aa…’,
‘t’ bunyinya ‘teh’’ s’ bunyinya ‘seh’ dan sebagainya.(Lihat Lampiran 8)
Setelah mereka tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya maka suku kata
pula dibina. Misalnya, ‘ba’, ‘da’, ‘ka’, ‘la’, ‘mi’ dan sebagainya. Kemudian
barulah suku kata ini digabungkan menjadi perkataan-perkataan seperti ‘dada’,
‘lalu’, ‘mata, ‘cuci’ dan sebagainya. Seterusnya murid-murid diberi latihan
membaca ayat-ayat yang menggunakan perkataan ini.
5.2.1 Kelebihan Kaedah
Fonetik
Melalui kaedah fonetik murid dapat
mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi seperti huruf ‘c’ disebut ‘cah’, ‘d’
disebut ‘dah’ dan sebagainya. Selain itu, kaedah ini juga mengurangkan bebanan
memori murid kerana murid tidak perlu menghafal huruf-huruf. Seterusnya, guru
tidak perlu memperkenalkan semua huruf vokal dan konsonan sekaligus. Akhir
sekali penggunaan asosiasi bunyi dan gambar dapat mempercepat proses mengingat.
5.2.2 Kelemahan Kaedah
Fonetik
Dalam menjalankan kaedah fonetik,
beberapa kelemahan dapat dikenal pasti. Antaranya ialah kaedah ini masih
memerlukan murid-murid menghafal bunyi huruf yang kurang bermakna pada
permulaannya. Kaedah ini juga tidak sesuai diaplikasikan kepada murid-murid
yang slow learner dan hanya sesuai digunakan oleh murid-murid yang pandai.
Selain itu, kaedah ini memerlukan masa yang panjang untuk murid mengenal semua
bunyi huruf dan suku kata sebelum mereka membaca perkataan dan ayat-ayat yang
bermakna. Murid juga perlu bersedia lebih awal sebelum membaca. Akhirnya kaedah
ini hanya sesuai untuk murid-murid yang telah mahir menyebut dan boleh
mengingati bunyi huruf yang telah diajarkan.
Sebagai kesimpulannya, kaedah
fonetik menekankan penguasaan murid terhadap hubungan antara huruf dengan
bunyinya. Kaedah ini hanya memerlukan mereka mengingat bentuk huruf dan
bunyinya tanpa perlu menghafal nama-nama huruf berkenaan. ( Lihat Lampiran 9 )
5.3 Kaedah Pandang Dan Sebut
Kaedah Pandang dan Sebut merupakan
kaedah pengajaran yang memerlukan murid-murid menyebut perkataan yang disebut
oleh guru terlebih dahulu setelah ditunjukkan gambar atau perkataan tersebut.
Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah seluruh perkataan kerana pengajaran
dimulakan dengan memperkenalkan perkataan dan bukannya huruf atau suku kata.
Menurut Juriah Long (1994) perkataan
diperkenalkan kepada murid-murid dengan menggunakan kad-kad perkataan. Semasa
kad diimbasi murid-murid akan menyebut perkataan itu beberapa kali. Perkara
yang dipandang ialah gambar objek yang terdapat pada bahan bantu belajar dan
yang disebut ialah perkataan pada bahan yang ditunjukkan.
Pada pendapat saya kaedah Pandang
dan Sebut melibatkan dua aktiviti utama iaitu membunyikan perkataan atau suku
kata berdasarkan gambar dan membunyikan ayat berdasarkan gambar yang
mengandungi cerita.
5.3.1 Kaedah
Pengajaran Pandang dan Sebut
Dalam pengajaran kaedah Pandang dan
Sebut, murid terlebih dahulu diperkenalkan dengan latihan menyebut perkataan
berdasarkan gambar. (Lihat Lampiran 10). Murid diminta
menyebutnya beramai-ramai atau dalam kumpulan dan diikuti dengan secara
individu
Setelah murid mampu menyebut
perkataan-perkataan yang ditunjukkan, guru bolehlah mencerakinkan perkataan
tersebut menjadi suku kata agar mudah difahami oleh murid-murid.(Lihat
Lampiran 10)
Apabila murid sudah dapat menyebut
dan mencerakinkan perkataan berdasarkan gambar, guru bolehlah membimbing
murid-murid membina ayat yang mudah berdasarkan perkataan-perkataan yang telah
pun dipelajari. (Lihat Lampiran 11).
5.3.2 Kelebihan Kaedah
Pandang dan Sebut
Antara kelebihan pengajaran
menggunakan kaedah pandang dan sebut ialah ia sesuai dengan kehendak ilmu jiwa
kanak-kanak kerana mereka mempelajari sesuatu secara keseluruhan dan ianya
dapat menarik minat murid. Penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik seperti
menggunakan gambar dan kad imbasan yang
menarik dapat memotivasikan murid-murid untuk belajar. Selain itu, kaedah ini
juga mementingkan makna dari awal lagi, oleh itu, murid-murid mudah memahami
apa yang dibaca oleh mereka. Akhir sekali, guru dapat melatih murid-murid
membaca dengan sebutan dan rentak irama ataupun alunan suara yang betul dari
awal lagi.
5.3.3 Kelemahan Kaedah
Pandang dan Sebut
Walaupun kaedah pandang dan sebut
ini sesuai dengan kehendak kanak-kanak namun bacaan mereka terhad kepada
perkataan, rangkaikata dan ayat-ayat yang telah diajarkan sahaja. Oleh itu
perbendaharaan kata murid-murid amat sedikit. Selain itu, melalui kaedah ini
juga tidak membolehkan kanak-kanak mengenal huruf secara formal. Lambat
mengenal bunyi dan suku kata. Seterusnya murid-murid juga tidak mempunyai asas
yang kukuh untuk membolehkan mereka membaca sendiri kerana tahap penguasaan
perkataan lain adalah terhad.
Sebagai kesimpulannya, kaedah ini
juga dikenali sebagai kaedah seluruh perkataan kerana proses pembelajaran
dimulai dengan memperkenalkan perkataan dan bukannya huruf atau suku kata.
Aktiviti yang utama adalah pandang dan sebut, iaitu perkara yang dipandang
ialah gambar manakala yang disebut ialah perkataan pada bahan yang ditunjukkan.
( Lihat Lampiran 12 )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan